Ranungan Petang
Isnin, 08 Oktober 2018
Isnin, 08 Oktober 2018
Tuhan Memanggil Orang Berdosa
"Ia melihat Lewi anak Alfeus duduk di rumah cukai lalu Ia berkata kepadanya: 'Ikutlah Aku!' Maka berdirilah Lewi lalu mengikuti Dia." Markus 2:14
Siapakah Lewi? Lewi adalah nama lain dari Matius. Dalam bahasa Ibrani Matius bermaksud pemberian Tuhan. Dia tinggal di Kapernaum dan ayahnya bernama Alfeus. Pekerjaan Lewi atau lebih dikenali sebagai Matius adalah pemungut cukai. Dia diberi kuasa oleh pemerintah Romawi untuk memungut cukai dari masyarakat, dari pedagang dan yang melalui wilayah kerjanya. Lalu dia mengambil komisen dari cukai yang dipungutnya itu.
Kebanyakan pemungut cukai memungut lebih dari yang seharusnya sehingga mereka mendapatkan keuntungan yang jauh lebih besar. Itulah sebabnya masa itu pemungut cukai dianggap 'setaraf' dengan orang-orang yang kotor, hina dan berdosa di mata masyarakat Yahudi kerana dianggap sebagai pengkhianat bangsa keturunan Yahudi tetapi bekerja dan menjadi budak suruhan oleh kerajaan Romawi.
Mereka diibaratkan sebagai 'lintah darat' yang 'menghisap darah' bangsanya sendiri dan memihak kepada kerajaan Romawi. Tidaklah menghairankan jika pemungut cukai dibenci dan dipulau oleh orang-orang sebangsanya.
Timbul pertanyaan dalam diri orang-orang Yahudi, apakah tidak salah Yesus memanggil orang seperti ini? Walhal Yesus yang sendiri tahu siapakah orang Lewi itu dan apa pekerjaannya. Namun Dia memanggil orang itu untuk menjadi murid-Nya.
Tindakan Yesus yang mahu makan bersama dengan Lewi dan para pemungut cukai yang lain tentu mengundang kontroversi sehingga menimbulkan kecurigaan dan reaksi negatif dalam diri ahli-ahli Taurat dari golongan Farisi yang selalu menganggap diri sendiri mereka yang paling benar dan suka sekali menghakimi orang lain. "Mengapa Ia makan bersama-sama dengan pemungut cukai dan orang berdosa?" (ayat 16).
Melihat akan hal itu, Tuhan Yesus memberikan jawaban yang lebih mengejutkan lagi, "Bukan orang sihat yang memerlukan tabib, tetapi orang sakit; Aku datang bukan untuk memanggil orang benar, melainkan orang berdosa." (ayat 17). Tuhan dengan sangat tegas menjelaskan kepada mereka tentang maksud dan tujuan-Nya datang ke dunia iaitu, memanggil orang yang berdosa.
Sebagai Tabib yang ajaib Tuhan Yesus datang untuk mengubati, menyembuhkan dan memulihkan orang-orang yang 'sakit'. Kitalah orang-orang yang sakit itu. Datanglah kepada Tabib Besar untuk mendapatkan kesembuhan rohani. Tuhan memberkati!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan