Khamis, 11 Oktober 2018

Renungan Petang Khamis, 11 Oktober 2018


Renungan Petang
Khamis, 11 Oktober 2018

Berkat Dan Kutuk?

"...dari mulut yang satu keluar berkat dan kutuk. Hal ini, saudara-saudaraku, tidak boleh demikian terjadi." Yakobus 3:10

Kalau kita inginkan kematangan dalam berkomunikasi setiap masa, kita harus dapat menguasai lidah. Berhati-hatilah dan berfikirlah seribu kali sebelum berkata, sebab "Hidup dan mati dikuasai lidah, siapa suka menggemakannya, akan memakan buahnya." (Amsal 18:21). Ada pepatah yang menyatakan bahawa adakalanya berdiam itu lagi baik. Adalah lebih baik berdiam diri atau sedikit berkata-kata kerana semakin banyak berbicara semakin berisiko untuk melakukan kesalahan.

Ada tertulis: "Di dalam banyak bicara pasti ada pelanggaran, tetapi siapa yang menahan bibirnya, berakal budi." (Amsal 10:19). Alkitab menyatakan bahawa orang bodoh sekalipun akan disangka bijak apabila dia tidak banyak berbicara atau berdiam diri. "Juga orang bodoh akan disangka bijak kalau ia berdiam diri dan disangka berpengertian kalau ia mengatupkan bibirnya." (Amsal 17:28).

Jangan sekali-kali menganggap mudah dan memandang rendah setiap perkataan yang keluar dari mulut kita, sebab suatu masanya kita harus dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan. "Setiap kata sia-sia yang diucapkan orang harus dipertanggungjawabkannya pada hari penghakiman. Karena menurut ucapanmu engkau akan dibenarkan, dan menurut ucapanmu pula engkau akan dihukum." (Matius 12:36-37).

Termasuklah perkataan yang kotor atau cerita kosong, kata-kata yang menyakiti, kata-kata yang tidak membangun dan sebagainya. "Janganlah ada perkataan kotor keluar dari mulutmu, tetapi pakailah perkataan yang baik untuk membangun, di mana perlu, supaya mereka yang mendengarnya, beroleh kasih karunia." (Efesus 4:29).

Elakkan bergosip. Gosip adalah suatu berita yang tersebar luas tetapi kebenarannya diragukan, atau berita negatif. Ramai orang suka bergosip, termasuk juga sebahagian orang yang percaya. Ini sungguh berbahaya, boleh merosakan dan menghancurkan diri sendiri dan juga orang lain. Rasul Paulus berkata, "Aku kuatir akan adanya perselisihan, iri hati, amarah, kepentingan diri sendiri, fitnah, bisik-bisikan, keangkuhan, dan kerusuhan." (2 Korintus 12:20).

Ibadah kita kepada Tuhan akan sia-sia jika kita tak mampu mengawal lidah (Yakobus 1:26). Kiranya Tuhan memberkati!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan