Renungan Petang
Selasa, 09 Oktober 2018
Selasa, 09 Oktober 2018
Orang Berdosa Dipanggil
"Aku datang bukan untuk memanggil orang benar, melainkan orang berdosa." Matius 9:13
Bukan perkara mudah bagi sesiapa pun untuk meninggalkan pekerjaan yang selama ini menjadi sumber pendapatan, lalu membuat keputusan mengikut Tuhan. Matius pasti terlebih dahulu mengira untung dan ruginya atau menghitung risiko yang harus ditanggungnya sebelum membuat pilihan yang sangat mempengaruhi kehidupannya. Yang pasti, selain terpaksa kehilangan pekerjaan, dia juga kehilangan pendapatan tetap.
Namun, tidak ada sedikit pun keraguan di dalam diri Matius. Ketika Yesus berkata kepadanya, "Ikutlah Aku", dia langsung mengikut Dia. Setelah mengalami perjumpaan secara peribadi dengan Tuhan, perubahan besar terjadi dalam dirinya, dia mengalami kehidupan yang baru. "Jadi siapa yang ada di dalam Kristus, dia adalah ciptaan baru: yang lama sudah berlalu, sesungguhnya yang baru sudah datang." (2 Korintus 5:17).
Matius yang dahulunya diasingkan, dijauhkan dan mempunyai ramai musuh, kini telah diterima dalam suatu komuniti, malahan dia diangkat menjadi anak-anak Allah. Dia yang biasanya menggunakan penanya untuk menulis jumlah kemasukan wang yang dia dapatkan dari pemungut pajak, kini penanya Tuhan guna untuk sebuah rancangan yang besar iaitu, menjadi rakan sekerja-Nya. Injil Matius adalah buktinya.
Tak seorang pun yang akan menduganya, seorang pemungut cukai yang mempunyai reputasi buruk di mata masyarakat, dicop sebagai kejam, tamak dan berdosa akhirnya menjadi seorang penulis Injil, sebuah karya yang bernilai kekal, yang dibaca oleh umat manusia di sepanjang sejarah. Tidak ada perkara mustahil bagi Tuhan!
Seburuk apa pun masa lalu kita, jangan pernah merasa diri kita tidak layak untuk datang kepada Tuhan kerana tangan Tuhan selalu terbuka untuk menyambut, menerima dan memulihkan kita. Tuhan memang sangat membenci semua jenis kejahatan tetapi Dia mengasihi orang yang melakukan, dengan maksud agar dia kembali dan bertobat dari kejahatannya. Matius atau Lewi mendapatkan kasih dan anugerah berlimpah dari Tuhan Yesus yang nilainya tak dapat dibeli dengan harta apa pun.
"Jika kita mengaku dosa kita, maka Ia adalah setia dan adil, sehingga Ia akan mengampuni segala dosa kita dan menyucikan kita dari segala kejahatan." 1 Yohanes 1:9. Tuhan memberkati!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan