Renungan Petang
Ahad, 14 Oktober 2018
Ahad, 14 Oktober 2018
Mencari Tuhan
"Ia memerintahkan orang Yehuda supaya mereka mencari TUHAN, Allah nenek moyang mereka, dan mematuhi hukum dan perintah." 2 Tawarikh 14:4
Orang Kristian disebut sebagai orang percaya, tetapi apakah semua orang Kristian percaya kepada Tuhan dengan sepenuh hati? Ketika berhadapan dengan masalah, kita cenderung menggunakan kekuatan atau fikiran sendiri daripada mendahulukan Tuhan. Kita memutuskan segala sesuatu menurut pertimbangan dan kehendak sendiri. Kita memiliki banyak rancangan dalam hidup tanpa melibatkan Tuhan kerana berfikir bahawa rancangan sendiri adalah yang terbaik.
Alkitab memberi peringatan : "Percayalah kepada TUHAN dengan segenap hatimu, dan janganlah bersandar kepada pengertianmu sendiri. Akuilah Dia dalam segala lakumu, maka Ia akan meluruskan jalanmu. Janganlah engkau menganggap dirimu sendiri bijak, takutlah akan TUHAN dan jauhilah kejahatan;" (Amsal 3:5-7).
Marilah kita belajar dari pengalaman hidup Asa, seorang raja yang pernah memerintah kerajaan Yehuda menggantikan ayahnya (Abia). Alkitab mencatatkan bahawa di awal pemerintahan, "Asa melakukan apa yang baik dan yang benar di mata TUHAN, Allahnya. Ia menjauhkan mezbah-mezbah asing dan bukit-bukit pengorbanan, memecahkan tugu-tugu berhala, dan menghancurkan tiang-tiang berhala." (2 Tawarikh 14:2-3).
Asa meletakkan kepercayaannya hanya kepada Tuhan dengan sepenuh hati dan memerintah seluruh rakyatnya untuk mencari Tuhan dan hidup melakukan firman-Nya. Ketika raja Asa dan seluruh rakyatnya hidup percaya kepada Tuhan dan taat kepada-Nya, Tuhan mengaruniakan keamanan atas seluruh negeri.
Ketika berperang melawan Zerah, orang Etiopiah dengan kekuatan 1 juta orang tentara, tiga ratus kereta dan lengkap dengan peralatan tempur yang canggih, secara teori pasukan Yehuda mustahil boleh memenangi perperangan ini dengan hanya 300, 000 orang bersenjatakan perisai besar dan tombak, dan 280, 000 orang sebagai pemanah. Oleh karena raja Asa mempunyai keyakinan dan kepercayaan yang tinggi kepada Tuhan, mukjizat telah terjadi. Musuh tewas di tangan mereka. Mereka tampil sebagai pemenang dengan kemenangan yang sangat besar. (2 Tawarikh 14:12-13).
Ketika raja asa percaya kepada Tuhan dengan sepenuh hati, kerajaannya aman dan berkemenangan. Ketika kita meletakkan keyakinan dan kepercayaan kita kepada Tuhan, kehidupan kita pasti beroleh kemenangan dalam pelbagai aspek kehidupan. Tuhan memberkati!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan