Renungan Petang
10 Oktober 2018
10 Oktober 2018
Yang Dipanggil Sudah Kembali
"Sebab Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan yang hilang." Lukas 19:10.
Zakheus adalah contoh lain orang yang mengalami sendiri berjumpa dengan Yesus secara peribadi dan hidupnya mengalami perubahan. Dalam bahasa Ibrani nama Zakheus memiliki makna murni atau benar. Namun hal itu sangat berbeza dengan kehidupan Zakheus yang penuh ketidakmurnian dan ketidakbenaran.
Ditinjau dari segi harta, Zakheus adalah orang yang berjaya iaitu, kaya, berkerjaya dan berkuasa. Selain mendapat gaji rasmi dari kerajaan Romawi, dia juga memperolehi gaji 'tidak rasmi' yang merupakan ciri-ciri sesetengah pemungut cukai, yang selalu identik dengan ketidakjujuran, manipulasi dan salahguna kuasa.
Sebagai ketua pemungut cukai, Zakheus mempunyai pangkat dan kuasa kerana memiliki ramai orang bawahan. Namun dia mengalami krisis identiti. Berlimpah harta, mempunyai pangkat dan kekuasaan tidak membuatnya dihormati orang, sebaliknya dia dibenci dan dihindar oleh umum. Di ruang hatinya yang terdalam ada kehampaan dan kekosongan sehingga dia pun berusaha mencari sesuatu yang hilang itu.
Ketika melihat Yesus sedang melintas di kota Yerikho. "Ia berusaha untuk melihat orang apakah Yesus itu, tetapi dia tidak berjaya kerana orang terlalu ramai dan saiz badannya tidak mengizinkan. Maka berlarilah dia mendahului orang ramai, lalu memanjat pohon ara untuk melihat Yesus, yang akan lalu di situ." (ayat 3-4). Dia sedang menghadapi masalah iaitu, keadaan fizikal (tubuhnya pendek) dan hubungan sosial (dibenci, ramai musuh, dijauhi).
Namun hal itu tak mampu memadamkan hasratnya yang besar untuk melihat Yesus, sehingga dia rela memanjat pohon ara. Ketika orang lain tidak mempedulikannya, mata Tuhan Yesus tertuju kepada Zakheus dan menyuruhnya segera turun kerana Dia ingin menumpang dirumahnya (ayat 5). Yesus mempunyai misi mencari dan menyelamatkan mereka yang hilang.
Oleh kerena telah mengalami kasih Tuhan yang besar, harta kekayaan bukan lagi segala-galanya bagi Zakheus. Terbukti dari kerelaannya membahagikan hartanya kepada orang miskin secara sukarela, malahan dia rela mengembalikan empat kali lipat.
Tuhan memberkati!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan