Kasih Tuhan Tiada Pernah Berakhir
"Makin Kupanggil mereka, makin pergi mereka itu dari hadapan-Ku; mereka mempersembahkan korban kepada para Baal, dan membakar korban kepada patung-patung." Hosea 11:2
Manusia yang hanya berasal dari debu tak mungkin mampu memahami, menyelami dan mengerti fikiran Tuhan yang Mahabesar dan tak terukur itu. Menurut pemikiran manusia, kerana Tuhan adalah Peribadi yang Mahakudus tentunya mereka yang bersalah, berbuat dosa dan menyeleweng dari jalan-jalanNya pasti segera dibinasakanNya. Namun fikiran manusia bukanlah fikiran Tuhan!
Tertulis : "Sebab Aku ini Allah dan bukan manusia, Yang Kudus di tengah-tengahmu, dan Aku tidak datang untuk menghanguskan." (Hosea 11:9). Tak semudah cara manusia berfikir bahawa Tuhan akan membinasakan umat yang menyimpang dari jalan-jalanNya. Akan tetapi Tuhan itu panjang sabar dan sentiasa memberi kesempatan kepada manusia untuk kembali bertaubat.
Sudah sangat jelas bahawa bangsa Israel pada ketika itu adalah bangsa yang degil dan keras kepala, namun kasih Tuhan tidak berkesudahan. Dalam kekecewaanNya Tuhan berkata, "Padahal Akulah yang mengajar Efraim berjalan dan mengangkat mereka di tangan-Ku, tetapi mereka tidak mahu insaf, bahawa Aku menyembuhkan mereka. Aku menarik mereka dengan tali kesetiaan, dengan ikatan kasih. Bagi mereka Aku seperti orang yang mengangkat kuk dari tulang rahang mereka; Aku membungkuk kepada mereka untuk memberi mereka makan." (Hosea 11:3-4).
Pengalaman bangsa Israel ini menjadi pelajaran berharga bagi kita. Mari kita belajar untuk menghargai betapa besarnya kasih Tuhan kepada kita. Mengertilah bahawa apabila persoalan atau kesukaran datang menimpa kehidupan kita, itu bukan bererti Tuhan tidak mengasihi kita. Tuhan ingin melalui 'proses hidup' ini dan kita dapat kembali mengingati kasih dan kebaikanNya.
Mungkin selama ini kita telah melangkah jauh dari hadapanNya, dan lalu melalui masalah dan penderitaan. Tali kasih Tuhan ingin menarik dan mengait hati kita untuk kembali bersimpul di hadapan kakiNya untuk menerima kembali pemulihan dari Tuhan. Kasih tidak selamanya memanjakan tetapi adakalanya mendidik dan mendisiplinkan. Kasih yang tegas harus Tuhan lakukan agar kita tidak tersesat jauh.
Tuhan memberkati!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan