Khamis, 22 November 2018

Renungan Petang 23 November 2018



Renungan Petang
23 November 2018

Anda Gagal?

"Kemudian TUHAN menurunkan hujan belerang dan api atas Sodom dan Gomora, berasal dari TUHAN, dari langit;" Kejadian 19:24

Lot tentu tidak menyangka bahawa keputusannya untuk tinggal di Sodom adalah permulaan malapetaka bagi dia dan seisi keluarganya. Selain itu, dia juga telah kehilangan suatu hubungan yang karib dengan pakciknya, Abraham. Pilihan inilah yang akhirnya membawa Lot kepada kehancuran dan kegagalan dalam hidupnya.

Apa yang menurut pemikiran kita baik belum tentu baik di mata Tuhan. "Ada jalan yang disangka orang lurus, tetapi ujungnya menuju maut." (Amsal 14:12).  Firman Tuhan mengingatkan, "...carilah dahulu Kerajaan Allah dan kebenarannya, maka semuanya itu akan ditambahkan kepadamu." (Matius 6:33).  Inilah yang diabaikan Lot iaitu, lebih memikirkan kesenangan duniawi daripada mengutamakan perkara-perkara rohani.

Pada mulanya, dia hanya berkhemah berdekatan dengan Sodom, tetapi pada akhirnya dia tinggal di kota itu dan bergaul dengan penduduknya. Alkitab menegaskan, "Janganlah kamu sesat: Pergaulan yang buruk merusakkan kebiasaan yang baik."  (1 Korinus 15:33). Lot memilih untuk berkompromi dengan dosa.

Sebagai orang yang mempunyai pengetahuan tentang firman dan kebenaran Tuhan, seharusnya Lot boleh memberikan teladan hidup yang baik dan menjadi terang bagi orang-orang Sodom, namun dia pula terpengaruh dan 'bersahabat' dengan dunia. "...persahabatan dengan dunia adalah permusuhan dengan Allah?" (Yakobus 4:4).

Ketika Sodom dan Gomora dibumihanguskan Tuhan, Lot terkena tempiasnya. Harta kekayaan dan isterinya juga menjadi tiang garam. Tuhan masih menunjukkan kasihNya kerana Dia tetap ingat kepada Abraham sehingga Lot terlepas dari bencana itu.

Berhati-hatilah dalam mengambil setiap keputusan, sebab jika kita salah dalam membuat keputusan akan mengakibatkan penyesalan dan kebinasaan. "...janganlah bersandar kepada pengertianmu sendiri. Akuilah Dia dalam segala lakumu, maka Ia akan meluruskan jalanmu. Janganlah engkau menganggap dirimu sendiri bijak," (Amsal 3:5-7).

Tuhan  memberkati!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan