Khamis, 15 November 2018
Renungan Petang Jumaat, 16 November 2018
Renungan Petang
Jumaat, 16 November 2018
Menjadi Sahabat Yesus
"Kamu adalah sahabat-Ku, jikalau kamu berbuat apa yang Kuperintahkan kepadamu." Yohanes 15:14
Tuhan menginginkan agar setiap orang percaya semakin hari semakin baik hubungan denganNya, semakin hari semakin intim dan karib dengan Dia seperti hubungan seorang sahabat. Tuhan mahu kita menjadi sahabat-sahabatNya. Orang yang menjadi sahabat Kristus adalah orang yang sentiasa bergaul karib dengan Dia, seia dan sekata dalam keadaan baik mahupun duka.
Menjadi sahabat bermaksud lebih dari sekadar kawan biasa. Kedua-duanya sudah saling mengenali dari luar dan dalam, saling memahami dan saling berbahagi. Ada unsur kesetiaan dan juga komitmen. Hubungan persahabatan itu adalah hubungan yang sangat istimewa atau khusus, di mana kedua-dua berbahagi isi hati, bahkan tidak ada hal yang dirahsiakan.
Penulis Amsal menggambarkan, "Seorang sahabat menaruh kasih setiap waktu, dan menjadi seorang saudara dalam kesukaran." (Amsal 17:17), dan "...ada juga sahabat yang lebih karib dari pada seorang saudara." (Amsal 18:24). Itulah maksudnya seorang sahabat. Yesus berkata, "Aku tidak menyebut kamu lagi hamba, sebab hamba tidak tahu, apa yang diperbuat oleh tuannya, tetapi Aku menyebut kamu sahabat, karena Aku telah memberitahukan kepada kamu segala sesuatu yang telah Kudengar dari Bapa-Ku." (Yohanes 15:14-15).
Ketika kita belajar menjadi sahabat Yesus, kita sedang belajar untuk mengenali dan memahami isi hati, fikiran, perasaan dan juga kehendakNya. Bagaimana kita boleh mengenali dan memahami isi hati, fikiran, perasaan, dan kehendak Tuhan? Iaitu melalui firmanNya. Kita harus tinggal di dalam firmanNya, maksudnya kita tidak lupa memperkatakan kitab Taurat tersebut, merenungkan itu siang dan malam dan bertindak hati-hati sesuai dengan segala yang tertulis di dalamnya. (baca Yosua 1:8).
Seberapa dekat hubungan kita dengan Tuhan? Apakah kita mendekat kepadaNya hanya ketika sedang dalam masalah yang berat? Atau adakah kekariban kita dengan Tuhan seperti hubungan di antara sahabat dalam setiap waktu? Sudahkah kita layak disebut sebagai sahabat Kristus? "TUHAN bergaul karib dengan orang yang takut akan Dia, dan perjanjian-Nya diberitahukan-Nya kepada mereka." Mazmur 25:14.
Kiranya Tuhan memberkati!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan