Jumaat, 16 November 2018

Renungan Petang Sabat, 17 November 2018



Renungan Petang
Sabat, 17 November 2018

Campur Tangan Tuhan

"Jikalau bukan TUHAN yang membangun rumah, sia-sialah usaha orang yang membangunnya; jikalau bukan TUHAN yang mengawal kota, sia-sialah pengawal berjaga-jaga." Mazmur 127:1

Kejayaan seseorang di dalam kehidupan ini ditentukan oleh berbagai faktor. Bermula dari sebuah impian atau cita-cita, ketekunan, kesungguhan, kerja keras, kecekapan, sikap yang tidak mudah putus asa, orang-orang di sekitarnya dan banyak lagi.  Namun semua ini tidak akan bermakna apa-apa tanpa campur tangan Tuhan.

Salomo adalah anak Daud dan juga raja, mengakui kebesaran Tuhan. Oleh itu, kita perlu penuh penyerahan diri kepada Tuhan, hati yang sentiasa mendekat kepada-Nya, dan hati yang sentiasa selaras dengan kehendak Tuhan, itulah yang akan memimpin seseorang kepada sebuah pencapaian cita-cita, impian dan harapan. Jika Tuhan menyelidiki bumi untuk mencari pemimpin, Dia tidak mencari orang dengan kreteria-kreteria jasmani sebagaimana manusia biasa pilih dan nilai sesamanya.

"Karena mata TUHAN menjelajah seluruh bumi untuk melimpahkan kekuatan-Nya kepada mereka yang bersungguh hati terhadap Dia." (2 Tawarikh 16:9).  Kalau kita memilih dan menilai seseorang dari apa yang dilihat secara kasar mata, kita pasti akan kecewa kerana apa yang kelihatan dari luar boleh mengaburi dan menipu. Ketika Tuhan mencari pemimpin, Dia hanya mencari orang-orang yang memenuhi kreteria-Nya yang boleh dikembangkan, yang memiliki kualiti tertentu, seperti Dia temukan di dalam diri Daud, raja Israel.

"Setelah Saul disingkirkan, Allah mengangkat Daud menjadi raja mereka. Tentang Daud Allah telah menyatakan: Aku telah mendapat Daud bin Isai, seorang yang berkenan di hati-Ku dan yang melakukan segala kehendak-Ku." (Kisah 13:22). Kualiti utama yang Tuhan lihat dalam diri Daud adalah hatinya. Hati Daud sentiasa mendekat kepada Tuhan. Hidupnya berkenan kepada Tuhan dan sentiasa taat melakukan kehendak-Nya. 

Tuhan mencari orang-orang yang hatinya sentiasa berpaut kepada-Nya, hati yang terlepas dari segala bentuk kejahatan. "...sebab TUHAN menyelidiki segala hati dan mengerti segala niat dan cita-cita." 1 Tawarikh 28:9.

Kiranya Tuhan memberkati!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan