Rabu, 7 November 2018
Renungan Petang Rabu, 07 November 2018
Renungan Petang
Rabu, 07 November 2018
Tuhan Yang Memberikan Kekuatan
"ALLAH Tuhanku itu kekuatanku: Ia membuat kakiku seperti kaki rusa, Ia membiarkan aku berjejak di bukit-bukitku." Habakuk 3:19
Rusa adalah binatang yang lemah tetapi kekuatan kaki-kakinya sangat mengagumkan kerana mampu menjejakkan kaki di atas bukit berbatu dengan begitu lincah, melalui halangan hingga akhirnya sampai ke tempat tinggi dan jauh di atas puncak bukit. Itulah sebabnya rusa kerap kali digunakan di dalam Alkitab untuk menggambarkan kekuatan dan daya tahan yang diberikan Tuhan bagi orang percaya untuk menghadapi masa-masa yang sukar dalam kehidupan.
Habakuk mempunyai alasan untuk lemah semangat dan putus asa: "Sekalipun pohon ara tidak berbunga, pohon anggur tidak berbuah, hasil pohon zaitun mengecewakan, sekalipun ladang-ladang tidak menghasilkan bahan makanan, kambing domba terhalau dari kurungan, dan tidak ada lembu sapi dalam kandang," (ayat 17), yang adalah gambaran suatu keadaan yang sangat memprihatinkan, "namun aku akan bersorak-sorak di dalam TUHAN," (ayat 18).
Habakuk mampu bertahan ketika sedang dalam kesukaran kerana dia sentiasa memandang Tuhan dan mengutamakan-Nya. Tuhan adalah sumber kekuatan dalam kehidupan Habakuk. Jika Tuhan yang menyertai Habakuk, saya dan anda, tidak ada perkara yang mustahil. Tuhan lebih daripada mampu untuk memberikan kita kekuatan
Semua orang mengakui bahawa hidup di zaman ini sangatlah sukar seperti melalui suatu perjalanan di padang gurun, melalui batuan kerikil, batuan tajam dan sukar. Sebagaimana rusa adalah binatang lemah, kita juga adalah manusia lemah, kekuatan yang terhad dan terdedah kepada bahaya. Jika rusa yang secara fizikal tergolong sebagai haiwan yang lemah, namun memiliki kaki yang mampu menjejak kaki di atas bebatuan dan jalan-jalan sukar dengan begitu bertenaga sekali.
Adakah perkara yang sukar bagi orang percaya? Ada, tetapi bersama dengan Tuhan kita pasti mampu melakukannya kerana "Bagi Dialah, yang dapat melakukan jauh lebih banyak dari pada yang kita doakan atau pikirkan," (Efesus 3:20). Bersama Tuhan kita beroleh kekuatan untuk menghadapi semuanya, malahan boleh membuat kita seperti rusa yang mampu menjejakkan kaki di atas batu-batuan masalah. Oleh itu, jangan pernah menyerah kalah atau patah semangat kepada keadaan yang berat sekali pun!
"Segala perkara dapat kutanggung di dalam Dia yang memberi kekuatan kepadaku." Filipi 4:13. Tuhan memberkati!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan